Peristiwa Berdarah di Gua Musang

on Saturday 1 December 2012

Gambar Hiasan. Pemandangan dari Sungai Nenggiri
– Gua Musang, Kelantan.


ANCAMAN PENGGANAS
Selepas gencatan senjata oleh tentera Jepun pada akhir Perang Dunia Kedua, Tanah Melayu dikejutkan dengan pelbagai peristiwa keganasan dan pembunuhan yang dicetuskan oleh pengganas komunis bagi mencapai matlamat mereka menguasai Tanah Melayu.

Ekoran peristiwa ini pada 16 Jun 1948, Darurat telah diisytiharkan oleh Gabenor kerajaan kolonial British, Sir Edward Gent, untuk membendung kegiatan komunis yang menjadikan kawasan terpencil terutama sekali balai-balai polis sebagai sasaran mereka untuk mendapatkan bekalan makanan, senjata api dan peluru.
Salah sebuah balai yang menjadi mangsa kekejaman mereka ialah Balai Polis Gua Musang yang pada masa itu baru didirikan semula di kaki Bukit Gua Musang berhampiran dengan stesen keretapi menggantikan balai polis yang musnah dibakar semasa pendudukan Jepun.

Sejarah hitam itu berlaku pada 19 Julai, 1948 apabila segerombolan komunis seramai lebih kurang 300 anggota telah mengepung dan menyerang balai berkenaan.

Walaupun dengan kekuatan seramai 16 anggota yang diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, mereka dapat bertahan selama hampir satu jam setengah sehingga kehabisan peluru.
Seorang anggota polis terkorban, 14 anggota telah menyerah diri dan seorang lagi berjaya melarikan diri. Manakala di pihak komunis tidak diketahui jumlah yang terkorban.

Pada keesokan harinya, satu operasi dengan pesawat terbang Dakota telah dilakukan terhadap pengganas komunis di bandar ini. Anggota-anggota polis yang ditawan pengganas dalam pertempuran sehari sebelum itu berjaya dibebaskan dan dibawa balik ke Kuala Krai.

Gerombolan komunis tersebut dipercayai telah berundur melalui Kampung Pulai.

                                  
Stesen Keretapi Gua Musang
Gambar Hiasan. Stesen Keretapi Gua Musang


SERANG HENDAP

Dalam salah satu episod keberanian Regimen Askar Melayu Diraja, satu pasukan yang diketuai pegawai British berpangkat Mejar bersama 10 orang anggota telah diserang hendap di landasan keretapi lama kira-kira tiga kilometer ke selatan Merapoh ketika dalam perjalanan menuju ke Balai Polis Gua Musang.
Pertempuran yang berlarutan hampir enam jam itu telah mengorbankan pegawai British tersebut dan enam anggota regimen yang lain.

Sementara itu dalam kejadian Sungai Semur pada 25 Mac, 1950, satu platun seramai 25 anggota dari Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis dengan kekuatan seramai 250 anggota ketika menyusuri sungai tersebut kira-kira jam 10.30 pagi.

Pertempuran sengit yang berlarutan hampir empat jam itu menyebabkan anggota tentera berkenaan hampir kehabisan peluru.

Akhirnya 17 anggota tentera telah gugur, enam cedera parah dan dua lagi mengalami kecederaan ringan.
Meskipun tewas, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam melawan musuh yang hampir 10 kali ganda daripada kekuatan mereka. Malah apa yang lebih membanggakan mereka berjaya membunuh seramai 29 anggota komunis dan mencederakan ramai yang lain dalam pertempuran itu.

Kesemuanya itu terpahat dalam lipatan sejarah tanah air dan pada 27 Jun ini bandar ini mencatat satu lagi sejarah dengan pembukaan sebuah balai polis baru yang serba moden oleh Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra.

Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar dijangka turut hadir pada majlis perasmian untuk balai polis itu, balai yang ke-empat dalam sejarah Gua Musang.

Source : SKC
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Oghe Guo Muse All Rights Reserved