|
Gambar Hiasan. Pemandangan dari Sungai Nenggiri – Gua Musang, Kelantan.
ANCAMAN PENGGANAS |
Selepas gencatan senjata oleh tentera Jepun pada akhir Perang Dunia
Kedua, Tanah Melayu dikejutkan dengan pelbagai peristiwa keganasan dan
pembunuhan yang dicetuskan oleh pengganas komunis bagi mencapai matlamat
mereka menguasai Tanah Melayu.
Ekoran peristiwa ini pada 16 Jun 1948, Darurat telah diisytiharkan
oleh Gabenor kerajaan kolonial British, Sir Edward Gent, untuk
membendung kegiatan komunis yang menjadikan kawasan terpencil terutama
sekali balai-balai polis sebagai sasaran mereka untuk mendapatkan
bekalan makanan, senjata api dan peluru.
Salah sebuah balai yang menjadi mangsa kekejaman mereka ialah Balai
Polis Gua Musang yang pada masa itu baru didirikan semula di kaki Bukit
Gua Musang berhampiran dengan stesen keretapi menggantikan balai polis
yang musnah dibakar semasa pendudukan Jepun.
Sejarah hitam itu berlaku pada 19 Julai, 1948 apabila segerombolan
komunis seramai lebih kurang 300 anggota telah mengepung dan menyerang
balai berkenaan.
Walaupun dengan kekuatan seramai 16 anggota yang diketuai oleh
seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, mereka dapat bertahan selama
hampir satu jam setengah sehingga kehabisan peluru.
Seorang anggota polis terkorban, 14 anggota telah menyerah diri dan
seorang lagi berjaya melarikan diri. Manakala di pihak komunis tidak
diketahui jumlah yang terkorban.
Pada keesokan harinya, satu operasi dengan pesawat terbang Dakota
telah dilakukan terhadap pengganas komunis di bandar ini.
Anggota-anggota polis yang ditawan pengganas dalam pertempuran sehari
sebelum itu berjaya dibebaskan dan dibawa balik ke Kuala Krai.
Gerombolan komunis tersebut dipercayai telah berundur melalui Kampung Pulai.
|
Gambar Hiasan. Stesen Keretapi Gua Musang |
SERANG HENDAP
Dalam salah satu episod keberanian Regimen Askar Melayu Diraja, satu
pasukan yang diketuai pegawai British berpangkat Mejar bersama 10 orang
anggota telah diserang hendap di landasan keretapi lama kira-kira tiga
kilometer ke selatan Merapoh ketika dalam perjalanan menuju ke Balai
Polis Gua Musang.
Pertempuran yang berlarutan hampir enam jam itu telah mengorbankan pegawai British tersebut dan enam anggota regimen yang lain.
Sementara itu dalam kejadian Sungai Semur pada 25 Mac, 1950, satu
platun seramai 25 anggota dari Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar
Melayu Diraja telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis
dengan kekuatan seramai 250 anggota ketika menyusuri sungai tersebut
kira-kira jam 10.30 pagi.
Pertempuran sengit yang berlarutan hampir empat jam itu menyebabkan anggota tentera berkenaan hampir kehabisan peluru.
Akhirnya 17 anggota tentera telah gugur, enam cedera parah dan dua lagi mengalami kecederaan ringan.
Meskipun tewas, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi
dalam melawan musuh yang hampir 10 kali ganda daripada kekuatan mereka.
Malah apa yang lebih membanggakan mereka berjaya membunuh seramai 29
anggota komunis dan mencederakan ramai yang lain dalam pertempuran itu.
Kesemuanya itu terpahat dalam lipatan sejarah tanah air dan pada 27
Jun ini bandar ini mencatat satu lagi sejarah dengan pembukaan sebuah
balai polis baru yang serba moden oleh Sultan Kelantan Tuanku Ismail
Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra.
Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar dijangka turut hadir pada
majlis perasmian untuk balai polis itu, balai yang ke-empat dalam
sejarah Gua Musang.
Source :
SKC